News

Share this

Operasi Metrojaya tidak ditutup

June 1, 2020

KUALA LUMPUR: Metrojaya Bhd (Metrojaya) meneruskan operasi perniagaan peruncitannya seperti biasa termasuk rangkaian anak syarikatnya seperti MJ Department Stores Sdn Bhd dan EIC Clothing Sdn Bhd.

Ia sekali gus menyangkal laporan bahawa syarikat itu sudah ‘gulung tikar’ disebabkan pandemik COVID-19.

Metrojaya adalah anak syarikat Malayan United Industries Bhd (MUI), yang memiliki kepentingan sebanyak 98.21 peratus.

MUI dalam kenyataannya berkata, terdapat kekeliruan dalam makluman di Bursa Malaysia Jumaat lalu mengenai penutupan penuh Metrojaya Department Stores Sdn Bhd (MDS) dan East India Company Clothing (Malaysia) Sdn Bhd (EIC), anak syarikat Metrojaya yang sudah tidak aktif.

“Syarikat ingin menjelaskan bahawa Metrojaya terus menjalankan perniagaan peruncitannya seperti biasa melalui pelbagai anak syarikat termasuk gedung membeli-belah Metrojaya di bawah MJ Department Store dan kedai khas East India Company di bawah EIC Clothing. Ini adalah entiti yang terpisah dari MDS dan EIC.

“Pengumuman ini dibuat untuk memperjelaskan makluman syarikat kepada Bursa Malaysia pada 29 Mei 2020 mengenai masalah di atas (penutupan MDS dan EIC).

“Seperti yang dinyatakan dalam makluman pada 29 Mei 2020, MDS dan EIC adalah syarikat yang tidak aktif dan bahawa penggulungan adalah untuk mempermudahkan struktur kumpulan MUI, mengurangkan kos yang berkaitan dengan mengekalkannya dan tidak mempunyai kesan kewangan atau operasi kepada kumpulan,” katanya kepada Bursa Malaysia, hari ini.